ROMPIN: Umat Islam diingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai hak eksklusif mana-mana kelompok sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat berasa terpinggir atau tidak didekati.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pengurusan masjid perlu dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan berintegriti supaya institusi itu benar-benar menjadi payung kesejahteraan, perpaduan dan kesejahteraan ummah.
“Masjid bukan sekadar mercu tanda keindahan seni bina yang megah pada pandangan mata tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah jantung kehidupan ummah dan medan penyatuan hati-hati yang beriman.
“Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh kariah supaya menjadikan masjid ini sebagai pusat aktiviti masyarakat yang hidup, subur dan berdaya saing. Imarahkanlah dengan solat berjemaah yang istiqamah, majlis-majlis ilmu yang menyuburkan akal dan jiwa, serta aktiviti kebajikan yang mengeratkan ukhuwah sesama kita.
“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya, namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,” titah baginda sempena Majlis Perasmian Masjid Kampung Teluk Gading di sini, semalam.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh umat Islam xupaya terus berpegang teguh kepada akidah yang berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Baginda meminta umat Islam supaya menjauhi segala bentuk ajaran sesat dan penyelewengan yang boleh merosakkan keimanan dan keharmonian negara. – UTUSAN










