PETALING JAYA: Seorang lelaki cedera akibat tersepit selepas terlibat kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer (KM) 441 Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke selatan, hari ini.
Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada pukul 8.52 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama 14 anggota ke lokasi dan tiba pada pukul 9.09 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan sebuah lori lima tan. Terdapat seorang lelaki berusia 33 tahun tersepit di bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang juga pemandu lori berkenaan dikeluarkan anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki,” ujarnya. – UTUSAN







