PUTRAJAYA: Kerajaan memberi peringatan kepada mana-mana pihak supaya tidak mencetuskan sebarang gangguan keselamatan khususnya sepanjang lawatan rasmi pemimpin negara asing ke Malaysia dalam masa terdekat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, langkah tegas akan diambil jika ada pihak yang cuba mencetuskan gangguan itu.
“Perdana Menteri membuat satu keputusan, pendirian kerajaan untuk tidak mengizinkan mana-mana pihak mencetuskan sebarang bentuk gangguan keselamatan, terutama sewaktu negara akan menerima tetamu dalam masa terdekat.
“Jadi langkah tegas akan diambil untuk pastikan dan jamin keselamatan awam dan juga tetamu negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Fahmi bagaimanapun tidak menamakan pemimpin asing yang akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia buat masa ini, namun dipercayai ada kaitan dengan lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi yang dijadual pada hujung minggu ini.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Modi akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 7 hingga 8 Februari ini atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu lawatan balas susulan lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024. – UTUSAN










