Keputusan CAS tidak hanya bergantung kepada fakta kes – Hairul

Keputusan CAS tidak hanya bergantung kepada fakta kes – Hairul

warisan
NASIB FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya akan diketahui pada 26 Februari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kes membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak hanya ditentukan oleh fakta kes semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi proses rundingan antara pihak yang terlibat.

Peguam sukan tempatan, Hairul Vaiyron Othman menjelaskan tribunal antarabangsa tersebut akan menilai pelbagai aspek sebelum memutuskan rayuan yang difailkan.

Menurutnya, prosiding di CAS tidak hanya tertumpu kepada hujah perundangan, malah turut memberi ruang kepada rundingan antara pihak bertelagah bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Proses di CAS bukan sahaja bergantung pada fakta kes tetapi juga perundingan di antara pihak yang terlibat. Semua itu akan menjadi faktor utama yang menentukan sama ada rayuan boleh diterima atau sebaliknya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan panel tribunal perlu meneliti pelbagai sudut sebelum membuat keputusan muktamad, termasuk skop rayuan yang dikemukakan oleh FAM.

“Selain itu, banyak faktor lain akan dipertimbangkan panel. Contohnya, sama ada fokus hanya kepada pengurangan hukuman atau perlu mengambil kira bukti dan perundingan lain.

“Ia bukan mudah dan boleh memberi kesan besar kepada FAM terutamanya membabitkan kewangan,” katanya.

Sebagai rekod, kes tersebut bermula apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Malaysia berikutan isu pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.

Susulan hukuman itu, FAM memfailkan rayuan ke CAS bagi mendapatkan keputusan yang lebih adil serta memberi peluang kepada pemain kembali beraksi dalam saingan kompetitif selepas rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA tidak berjaya.

Tujuh pemain warisan yang terlibat sebelum ini merupakan tonggak penting skuad kebangsaan dan pernah beraksi bersama beberapa kelab domestik serta antarabangsa sebelum penggantungan dikenakan, menjadikan keputusan tribunal ini amat signifikan terhadap masa depan bola sepak negara serta pemain tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN