PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) turut berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) selepas terikat 1-1 dengan kelab Vietnam, Nam Dinh dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thien Truong, sebentar tadi, sekali gus menamatkan saingan kumpulan selaku naib juara.
Keputusan itu menyaksikan dua wakil Malaysia iaitu Selangor dan JDT tidak bertemu sesama sendiri di separuh akhir.
JDT yang merekodkan tiga kemenangan dan dua seri mengumpul 11 mata, dua mata di belakang Nam Dinh yang mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan B.
Skuad Harimau Selatan akan menentang gergasi Thailand, Buriram United yang muncul juara Kumpulan A, manakala Selangor berdepan Nam Dinh pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 13 Mei ini.
Pada aksi sebentar tadi, Bergson Da Silva terlepas peluang seawal minit kedua meletakkan JDT mendahului apabila gagal melakukan sentuhan lebih kemas bola hantaran Hector Hevel di depan pintu gol.
Sepakan percuma Hevel pada minit ke-30 pula diselamatkan penjaga gol Nam Dinh, Tran Nguyen Manh dan lebih malang, tidak sampai seminit selepas itu pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang mereka, Caio Cesar dijatuhkan Syahmi Safari.
Sepakan penalti yang diambil Cesar bagaimanapun berjaya ditampan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre namun Nguyen Van Vi pantas melakukan tindakan susulan untuk menjaringkan gol pembukaan Nam Dinh.
Nam Dinh sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54 selepas pengadil melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) yang menunjukkan bola sepakan Van Vi terkena tangan Hevel.
Kali ini, Zubiaurre memastikan gawangnya tidak dibocori kali kedua selepas bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti yang diambil Percy Tau.
Ketika perlawanan berbaki tiga minit, giliran JDT pula diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mitchell Dijks dan peluang itu tidak disia-siakan Bergson untuk meledak gol penyamaan.-UTUSAN










