ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan Shan United FC (SHUFC) 3-0 pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan memintas kelab Vietnam, Nam Dinh untuk berada di posisi teratas Kumpulan B selepas mengutip 10 mata daripada empat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Xisco Munoz membariskan tiga pemain warisan Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel setelah Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan seketika penggantungan 12 bulan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap mereka.
Seawal minit ketiga, JDT mula mengancam kubu lawan berpunca hantaran Silang Nacho Mendez kepada Jonathan Silva di sayap kiri namun rembatan yang dilakukan pemain pertahanan itu jauh tersasar.
Lima minit berselang, giliran Jairo Da Silva mencipta gerakan gol, malangnya hantaran silang ke dalam kotak penalti yang dilakukan sedikit tinggi dan gagal disempurnakan dengan baik Figueiredo.
JDT hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-13 setelah Jairo melonjak tinggi untuk menanduk bola ke gawang namun pemain pertahanan, Ye Min Thu berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol.
Bersambung babak kedua, Zin Phyo meneruskan kecemerlangan apabila menafikan percubaan berbahaya dilakukan Hector Hevel dan Yago Cesar pada awal permainan.
Kemasukan Bergson Da Silva yang menggantikan Jairo tampak berjaya memberi tonik kepada skuad Harimau Selatan yang terus ghairah untuk memburu gol pembukaan dan seminit berselang, giliran Bergson mencipta jaringan setelah memanfaatkan umpanan Figueiredo dan melepas rembatan lerek menewaskan Zin Phyo buat kali kedua pada perlawanan itu. – UTUSAN










