PUTRAJAYA: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tidak mahu sekadar meletakkan sasaran gelaran juara pada Piala Dunia Trek di Australia dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Filipina, sebaliknya memburu peningkatan prestasi lebih menyeluruh musim ini.
Sebaliknya, anak jati Sungai Petani, Kedah itu mengimpikan untuk memperbaharui catatan masa peribadi pada kejohanan berkenaan selain pentas antarabangsa lain termasuk Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel di Scotland.
Izzah berkata, fokusnya kini lebih terarah kepada pembangunan fizikal selepas ujian prestasi terbaru menunjukkan peningkatan memberangsangkan sekali gus memberi gambaran positif terhadap tahap kecergasannya.
“Alhamdulillah, latihan masih berjalan seperti biasa dan kami baru selesai ujian prestasi semalam (kelmarin). Sekarang fokus lebih kepada latihan kekuatan untuk persiapan musim pertandingan.
“Saya harap saya boleh buat yang terbaik, kalau boleh saya memang nak memperbaiki masa saya terutamanya dalam catatan masa peribadi saya,” kata Izzah ketika ditemui pemberita semalam.
Selaku pemegang rekod kebangsaan acara pecut individu dengan catatan 10.709 saat yang dilakar pada Sukan Olimpik Paris 2024, Izzah dinobatkan sebagai Olahragawati pada Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) edisi 2024 di Putrajaya, semalam.
Izzah turut mendedahkan, cabaran di Perth bagi Siri 1 Piala Dunia Trek yang berlangsung pada bulan Ramadan menuntut perancangan teliti, malah kem latihan di Australia sebelum ACC 2026 turut dipertimbangkan bagi memastikan dia dapat menyesuaikan diri dengan trek serta persekitaran pertandingan.
“Untuk kem latihan di Australia itu masih belum pasti. Mungkin minggu depan baru kita buat keputusan kerana ada pertandingan di Perth bulan puasa ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, atlet berusia 23 tahun itu menegaskan Sukan Asia di Aichi-Nagoya kekal sebagai sasaran utama, namun tidak sesekali memandang ringan Sukan Komanwel yang dianggap pentas penting menjelang Kejohanan Dunia di Shanghai pada Oktober ini.
“Bagi saya kedua-duanya (Sukan Komanwel dan Asia) penting. Saya pernah beraksi di Komanwel Birmingham sebelum ini. Sukan Asia memang sasaran utama, tetapi saya tetap mahu capai sesuatu di Komanwel,” katanya.
Untuk rekod, musim lalu menyaksikan Izzah meraih dua pingat emas pada ACC 2025 di Velodrom Nasional Nilai menerusi acara keirin dan ujian masa 1 kilometer (km) sebelum tersingkir awal pada Kejohanan Dunia di Chile.










