Isu Pak Mail, anak kesal dilabel derhaka

Isu Pak Mail, anak kesal dilabel derhaka

ZAMAKHSHARI Muhamad (dua kanan) menziarahi Ismail Che Noh (kiri) di rumah anaknya di Kampung Repek Pasir Mas, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: “Saya bukan anak derhaka.”

Demikian luahan Abdullah Ismail, 59, anak tunggal kepada warga emas Ismail Che Noh, 79, yang tular di media sosial selepas bapanya didakwa diabaikan keluarga.

Abdullah tampil mempertahankan diri apabila meluahkan rasa kecewa dan sedih dilabelkan sebagai anak tidak bertanggungjawab, sedangkan dia berdepan cabaran besar menjaga bapanya yang mengalami masalah nyanyuk sejak setahun lalu.

Menurutnya, keadaan bapanya yang sering merayau tanpa arah tujuan dan bertindak agresif bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan ahli keluarga lain.

“Sejak ayah nyanyuk, dia kerap mengamuk, pecahkan cermin tingkap dan sepahkan barang-barang.

“Keadaan itu menyebabkan cucu sulung saya yang tinggal bersamanya terpaksa berpindah demi keselamatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Repek, di sini hari ini.

Abdullah yang mempunyai lima anak dan baru setahun berpisah dengan isteri memberitahu, meskipun bapanya tinggal bersendirian sebelum ini, dia tidak pernah lepas tangan menjaga kebajikan warga emas itu.

“Setiap pagi saya hantar nasi bungkus sebelum pergi kerja, tengah hari saya pulang untuk memandikan ayah.

“Rumah itu saya kunci kerana takut dia keluar merayau. Saya pernah ajak tinggal bersama, tetapi ayah tidak mahu,” ujarnya.

Isu berkenaan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, Zamakhshari Muhamad yang hadir bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penghulu bagi mendapatkan gambaran sebenar kes berkenaan, selain menyampaikan sumbangan kerusi rehat dan tilam.

Abdullah turut menjelaskan bahawa selepas bapanya dibawa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas, dia segera mengambil semula bapanya untuk dibawa pulang.

“Kini ayah tinggal bersama saya. Demi keselamatan, saya akan pasang jeriji di pintu biliknya supaya dia tidak keluar merayau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan
Che Samsuzuki Che Noh berkata, warga emas berkenaan akan menerima bantuan berjumlah RM500 bermula bulan ini.

Katanya, bantuan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank salah seorang ahli keluarga terdekat yang bertanggungjawab menjaga mangsa.

“Untuk tempoh seminggu ini, pihak JKM akan memantau keadaan Pak Mail. Selepas itu, pemantauan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan kebajikan mangsa terus terjamin,” ujarnya.

Sebelum ini tular kisah Pak Mail yang dipercayai diabaikan oleh keluarga dengan keadaannya tidak terurus di Kampung Repek, di sini, diselamatkan oleh sebuah NGO.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN