KUALA LUMPUR: Skuad futsal wanita negara gagal melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026 selepas dibelasah 0-8 oleh Thailand pada aksi terakhir Kumpulan A, kelmarin.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia tergelincir ke tangga ketiga kumpulan selepas dipintas Indonesia berdasarkan perbezaan gol, sekaligus menamatkan impian untuk mara ke separuh akhir.
Bagaimanapun, kegagalan melangkah ke separuh akhir tidak mematahkan semangat Intan Sarah Anisah Zulgafli yang menegaskan beliau sama sekali tidak menyesal menyarung jersi Malaysia.
Kekalahan kepada Thailand menjadi episod perit kepada Intan Sara apabila pemain berusia 26 tahun itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Bagi Intan, biarpun keputusan tersebut menyakitkan, peluang mewakili negara tetap menjadi kebanggaan yang tidak akan disesalinya.
“Ya, beraksi buat negara bukan satu kesilapan. Walaupun ia menyakitkan. Orang boleh mempersoalkan, tapi saya tidak pernah menyesal memberikan segala-galanya buat Malaysia,” katanya.
Malaysia sebelum itu sekadar mencatat keputusan seri 4-4 dengan Indonesia meskipun sempat mendahului dua gol, keputusan yang akhirnya menjadi antara faktor kegagalan mara ke kelompok empat terbaik.
Indonesia yang tewas 0-3 kepada Thailand berjaya memintas Malaysia berdasarkan perbezaan gol keseluruhan selepas kedua-dua pasukan terikat dari segi pungutan mata.
Aksi menentang Thailand yang juga naib juara Asia dan menghuni ranking kelapan dunia jelas menjadi ujian getir buat skuad negara, namun kekalahan besar itu tetap memberi pengajaran berharga buat pemain wanita negara. – UTUSAN










