JOHOR BAHRU: Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah terpaksa akur dengan kekalahan 0-5 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Menurut Yusri, Hasrat pasukan untuk mengurangi defisit gol tidak kesampaian setelah berapa kesilapan dilakukan menghadiahkan gol mudah kepada skuad Harimau Selatan.
Katanya, jurang antara kedua pasukan amat besar dan sedar anak buahnya berdepan tugas sukar untuk berdepan dengan penyandang juara itu di laman sendiri.
“Memang benar perancangan kita adalah untuk mengurangkan defisit gol dan apa yang ditunjukkan oleh pemain tidak cukup, tambah pula kualiti yang ada pada pasukan lawan adalah jauh daripada pasukan kami.
“Kita kena sedar bahawa setiap kesilapan dan kelalaian atas padang, kita akan dihukum, itu yang berlaku untuk gol kedua dan gol terakhir. Mungkin mereka mampu skor lebih banyak tapi tersekat di angka lima,” katanya.
Tambah Yusri, peluang terbaik The Mighty Tigers hadir pada awal babak pertama menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat namun ia tidak disudahkan dengan baik.
Katanya, seperti pasukan lain yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Imigresen berjaya bertahan dengan baik pada babak pertama namun kelekaan pada awal separuh masa kedua menghukum mereka.
“Seandainya jaringan itu berlaku, kemungkinan nak menang susah dan mungkin juga kita akan dihujani dengan lebih banyak percubaan ke arah gol.
“Namun keadaan itu tidak berlaku, hanya itu peluang terbaik dapat dihasilkan, selebihnya, ia berada dalam kawasan kami. Saya harap pemain dapat bangkit untuk hadapi perlawanan Piala Cabaran pada minggu depan,” ujarnya.-UTUSAN










