KUALA NERUS: Jaringan tunggal Madger Gomes di babak kedua membolehkan Kuala Lumpur City FC (KL City) mengutip tiga mata berharga dalam saingan Liga Super apabila menundukkan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam tadi.
Keputusan itu mengukuhkan kedudukan KL City di tangga kedua liga berbekalkan 36 mata manakala TFC masih kekal di tangga kelima liga dengan mengutip 28 mata daripada 18 perlawanan.
Kekalahan tersebut sekali gus mengulangi episod duka TFC yang turut tewas 0-1 terhadap lawan sama pada aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Dalam perlawanan yang menyaksikan sebahagian penyokong tuan rumah dilihat tidak berpuas hati dengan kebanyakan keputusan pengadil itu, TFC terlebih dahulu membolosi gawang lawan menerusi rembatan Gervane Kastaneer pada minit ke-32 perlawanan.
Namun jaringan itu dibatalkan pengadil selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan kekasaran pertahanan TFC, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni terhadap Paulo Josue sekali gus menyaksikan kem tuan rumah bangun memprotes keputusan itu.
Benteng tuan rumah bolos pada minit ke-62 apabila Gomes melepasi dua pemain pertahanan TFC sebelum melakukan sepakan untuk memperdaya penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin.
Jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan yang menyaksikan KL City mencatat kemenangan kesepuluhnya dalam saingan Liga Super musim ini. – UTUSAN











