KUALA LUMPUR: Sentuhan emas Chrigor Moraes di penghujung aksi memastikan Selangor FC terus mengukuhkan cengkaman di tangga kedua Liga Super selepas menundukkan Kuching City FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, sebentar tadi.
Gol minit ke-86 itu bukan sahaja memecah kebuntuan, malah menghadiahkan tiga mata berharga buat Red Giants yang kini mengumpul 35 mata daripada 17 perlawanan.
Selangor kini berada dua mata di depan Kuala Lumpur City FC, sekali gus terus memberi tekanan dalam perebutan kelompok teratas liga.
Bagi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, kekalahan itu meranapkan rekod empat perlawanan tanpa kalah mereka, meskipun mempamerkan disiplin tinggi hampir sepanjang perlawanan.
Selangor yang masih kebal sejak dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon pada Januari lalu, bermula garang apabila Moraes hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-25, namun penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli tangkas menafikan percubaan tersebut.
Haziq sekali lagi menjadi tembok kebal pelawat apabila menepis rembatan Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-37 ketika tuan rumah semakin meningkatkan tempo permainan.
Babak kedua menyaksikan Selangor terus menggandakan asakan. Faisal Halim hampir mencuri tumpuan pada minit ke-67, namun percubaannya satu lawan satu berjaya dibaca Haziq yang tenang mendepangkan tangan menepis bola keluar.
Kuching City tidak sekadar bertahan apabila minit ke-69, rembatan deras Moses Atede menggegarkan tiang gol ketika Kalamullah Al Hafiz sudah tertewas, sekali gus membuatkan penyokong tuan rumah terpaku seketika.
Memasuki 10 minit terakhir, tekanan Selangor akhirnya membuahkan hasil selepas Moraes pantas menghukum kesilapan benteng lawan sebelum menyudahkan peluang dari jarak dekat untuk gol tunggal perlawanan.
Aksi kian tegang di hujung saingan dengan beberapa insiden panas membabitkan keputusan pengadil, namun kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.-UTUSAN










