Enrique tenang hadapi 'ribut' PSG

Enrique tenang hadapi ‘ribut’ PSG

Luis Enrique. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONACO: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menepis dakwaan berlaku ketegangan dalam bilik persalinan menjelang aksi play-off Liga Juara-Juara menentang Monaco awal pagi ini ketika juara Eropah itu bergelut mencari rentak sebenar musim ini.

PSG yang mencipta sejarah dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama musim lalu kini tampak goyah selepas tewas 1-3 kepada Rennes sehingga dipintas Lens di puncak Ligue 1 serta tersingkir daripada Piala Perancis dan sekadar menamatkan fasa liga Eropah di tangga ke-11.

Situasi itu bertambah panas apabila pemenang Ballon d’Or tahun lalu, Ousmane Dembele secara terbuka menegur rakan sepasukan dengan menyifatkan terlalu ramai pemain sudah tidak lagi meletakkan kepentingan pasukan mengatasi kepentingan individu.

“Kita perlu bermain untuk Paris Saint-Germain jika mahu menang perlawanan, kerana jika semua hanya bermain untuk diri sendiri ia tidak akan menjadi dan kita tidak akan memenangi trofi yang kita impikan.

“Musim lalu kami meletakkan kelab sebagai keutamaan sebelum memikirkan diri sendiri, jadi saya rasa kami perlu kembali berfikir seperti itu semula,” kata Dembele.

Enrique bagaimanapun kekal tenang ketika ditemui menjelang aksi pertama play-off di Stade Louis II dengan menyifatkan kekalahan di Rennes sebagai sesuatu yang ‘kejam’ selain mengakui pasukannya kini perlu mengalihkan sepenuh fokus kepada pentas Eropah.

“Sentiasa ada bunyi bising mengelilingi PSG dan kami perlu menerimanya, memang benar kami mahu hadir dengan kemenangan tetapi sekarang masanya untuk Liga Juara-Juara dan semua pemain cukup bermotivasi,” ujar pengendali dari Sepanyol itu.

PSG tetap dilabel pilihan utama menewaskan Monaco yang kini menghuni tangga kelapan liga, namun skuad kendalian Sebastien Pocognoli memiliki keyakinan tersendiri selepas pernah menewaskan gergasi Paris itu 1-0 di venue sama pada pertemuan terakhir November lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN