PETALING JAYA: Kegagalan di Sukan SEA 2025 tidak mematahkan semangat skuad ragbi tujuh sebelah lelaki (7s) negara apabila muncul juara Kejohanan Ragbi Tujuh Asia Tenggara (SEA 7s) di Singapura, kelmarin.
Ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, persiapan singkat bukan penghalang buat anak-anak buahnya menampilkan potensi sebenar selepas menewaskan juara Sukan SEA 2025, Thailand 10-5 pada perlawanan akhir di Stadium Kallang.
“Alhamdulillah, kita berjaya menjuarai kejohanan kali ini dan kredit harus diberikan kepada semua pemain yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan, walaupun tempoh persiapan yang dijalankan tidak begitu panjang.
“Komitmen yang ditunjukkan amat memberangsangkan dan mereka berjaya mempamerkan potensi sebenar pasukan Bunga Raya Tujuh sepanjang kejohanan ini,” kata Nik Safuan.
Dalam kempen itu, Malaysia mempamerkan dominasi apabila mudah mengatasi Kemboja 66-0, Brunei 57-7 dan pemenang pingat perak Sukan SEA, Singapura 38-0 pada peringkat kumpulan.
Skuad Bunga Raya sebelum ini menamatkan kempen Sukan SEA Thailand di tempat keempat selepas tewas kepada Thailand, Singapura dan Filipina.
Lebih menyakitkan, keputusan itu menyaksikan Malaysia gagal menaiki podium Sukan SEA buat kali pertama sejak ragbi 7s diperkenalkan pada edisi 2015.

Sementara itu, skuad ragbi wanita negara turut mencatat pencapaian positif pada SEA 7s apabila muncul naib juara selepas tewas 41-0 kepada Thailand pada perlawanan akhir yang mengulangi aksi final Sukan SEA.
Pasukan wanita negara sebelum itu turut tewas kepada Thailand 55-0 pada peringkat kumpulan, namun bangkit mencatat kemenangan ke atas Singapura 26-19 dan Laos 26-14.-UTUSAN










