LOS ANGELES: Selepas bertarung kanser buah pinggang selama sembilan bulan, vokalis 3 Doors Down, Brad Arnold, 47, meninggal dunia hari ini.
Berita duka itu dikongsikan akaun rasmi band itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik.
“Dia akan sangat dirindui dan diingati selamanya,” tulis kumpulan tersebut.
Kumpulan itu paling dikenali menerusi lagu hits rock tahun 2000-an seperti Kryptonite, Here Without You, When I’m Gone dan Loser.
Sebelum ini pada Mei tahun lalu, Arnold mengumumkan mengalami sakit buah pinggang dan menerima diagnosis karsinoma sel jernih buah pinggang tahap empat iaitu sejenis kanser buah pinggang yang sudah merebak ke paru-parunya.
Kumpulan tersebut mengambil keputusan untuk menagguhkan aktiviti jelajah sebagai menghormati Arnold.
Sepanjang hayat, Arnold disifatkan mentakrifkan semula muzik rock arus perdana dengan menggabungkan muzik grunge bersama penulisan lagu beremosi.
Kumpulan asal ditubuhkan di Mississippi pada pertengahan 1990-an. Seorang lagi ahli pengasas trio asal, Matt Roberts, meninggal dunia pada 2016 sewaktu berusia 38 tahun.
Arnold menulis Kryptonite iaitu lagu hit lonjakan kumpulan terbabit pada tahun 2000 sewaktu dalam kelas matematik pada umur 15 tahun. -UTUSAN









