Arab Saudi tetap bayaran dam sebagai pra syarat visa haji

Arab Saudi tetap bayaran dam sebagai pra syarat visa haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Arab Saudi menetapkan bayaran dam perlu dijelaskan lebih awal oleh para jemaah sebagai pra-syarat pengeluaran visa haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, justeru itu setiap bakal jemaah melaksanakan haji Tamatuk dan Qiran perlu membuat bayaran dam lebih awal kepada Projek Kerajaan Arab Saudi bagi Pengurusan dan Pemanfaatan Hady dan Adahi (ADAHI).

Katanya, TH akan menguruskan pembayaran dam kepada ADAHI bagi pihak jemaah dengan bayaran yang ditetapkan bagi musim haji 1447H/2026M adalah RM810 bagi seekor kibas. 

“Bayaran dam perlu ditunaikan setiap jemaah mengikut jenis ibadat haji yang dipilih. Bakal jemaah haji tahun ini boleh membuat pembayaran dam melalui aplikasi Thijari dan di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan. 

“Bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, bermula 1 Syawal, TH akan menguruskan pembekuan jumlah tersebut daripada akaun TH mereka, diikuti proses pendebitan amaun daripada akaun masing-masing selepas itu. 

“Pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu yang ditetapkan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamatuk dan Qiran bagi musim haji ini. TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustakim berkata, justeru itu semua jemaah yang melaksanakan haji Tamatuk dan Qiran perlu melaksanakan bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci. 

“Bagi bakal jemaah haji yang melakukan haji Ifrad, jumlah bayaran tersebut akan dipulangkan semula sekiranya akaun TH telah didebitkan dan selepas perakuan dibuat, tertakluk kepada pengesahan oleh pihak TH,” katanya.

Sementara itu, Mustakim berkata, penyertaan korban di Tanah Suci pada tahun ini pula adalah terbuka kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas dan pembayaran Qurban boleh dilakukan melalui aplikasi Thijari atau di kaunter cawangan TH seluruh negara. 

“TH menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam dan Qurban di Tanah Suci yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang mungkin mengambil kesempatan kerana kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03- 62071919. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN