MELBOURNE: Naib juara tahun lalu, Alexander Zverev mara ke separuh akhir Terbuka Australia selepas menundukkan pemain muda Amerika Syarikat (AS), Learner Tien dalam perlawanan suku akhir yang sengit di Rod Laver Arena, hari ini.
Zverev memenangi perlawanan empat set 6-3, 6-7 (5/7), 6-1, 7-6 (7/3) dan kini menunggu pemenang pertemuan antara pemain No. 1 dunia, Carlos Alcaraz dengan wakil tuan rumah, Alex de Minaur untuk menentukan lawan di final Melbourne.
Zverev, 28 tahun, yang masih belum memenangi sebarang Grand Slam, mengakui servisnya menjadi kunci kemenangan apabila melakukan 24 ace.
“Tanpa ace saya, mungkin saya tidak akan menang hari ini. Learner bermain dengan hebat,” katanya.
Tien, yang baru memenangi gelaran ATP pertamanya pada November lalu dan dilatih oleh juara Terbuka Perancis 1989, Michael Chang tetap menunjukkan persembahan cemerlang dan mendapat sorakan hangat penonton.
Menerusi kemenangan itu, Zverev kini berpeluang menamatkan kemarau Grand Slam selepas tewas di final Terbuka AS 2020 dan Terbuka Perancis 2024. – AFP









