SEMENYIH: Prestasi positif sektor ekonomi negara ketika ini termasuk pengukuhan mata wang ringgit membuktikan bahawa Malaysia berpotensi menjadi negara hebat di Asia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan angka-angka terkini, prestasi ekonomi negara kini semakin baik dan pertumbuhannya di rantau ini amat membanggakan.
Beliau berkata, kekuatan mata wang ringgit yang terus mengukuh juga sangat menyakinkan sehingga angka pelaburan diterima negara terus berkembang menjadikannya tertinggi dalam sejarah.
Katanya, pertumbuhan positif ditunjukkan sangat penting untuk meningkatkan keyakinan semua pihak termasuklah rakyat Malaysia.
Tetapi, beliau juga mengakui walaupun ekonomi negara terus berkembang namun terdapat kelemahan yang harus diperbaiki dengan kesungguhan semua pihak sama ada kerajaan mahu pun swasta.
“Kita gunakan peluang ini untuk membina dan membangun. Potensi yang ada di Malaysia sekarang dengan kekuatan ekonominya, keupayaan kita, tahap pekerjaan dan prestasi pekerja, semua angka-angka ini menunjukkan kita ada upaya untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat di Asia.
“Kalau kita mempunyai keinginan itu, maka kita mesti perbetulkan sikap dan usaha kerana jika ekonomi kita lemah, tak mampu membangun, kita akan menghadapi soal pengangguran tinggi, kemiskinan bertambah.
“Tetapi, hari ini walaupun ada masalah kemiskinan ia jauh berkurang dan Kerajaan Madani bertekad untuk menyelesaikan masalah kemiskinan tegar ini,” katanya pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau mengharapkan semua pihak mengambil sikap bertanggungjawab untuk membangunkan kolompok miskin yang tersisih bagi memperbaiki kehidupan mereka.
Katanya, ia harus menjadi sikap tidak kira kerajaan mahu pun swasta untuk bekerjasama membawa perubahan di dalam negara.
“Angka ini memang memukau tetapi jangan anggap ini mudah, jangan anggap ini biasa. Lihat, banding dengan negara lain, tengok ekonomi mereka, pengangguran, tahap kemiskinan, soal banjir dan masalah-masalah alam sekitar, (mereka) itu bergelut untuk hidup, untuk dapat nafkah yang halal, untuk dapat satu suasana yang agak munasabah.
“Tetapi kita, Alhamdulillah, sebab itu saya katakan cuba baiki dan tanggungjawab kita dari Kerajaan Persekutuan, negeri, ahli majlis mesti ambil sikap yang positif, bantu saluran rakyat.
“Jangan tunggu mereka datang, cari apa-apa masalah (bantu selesaikan), baru rakyat merasakan mereka ini sebahagian daripada hidup yang lebih lumayan dan selesa dalam negara,” katanya. – UTUSAN










