MADRID: Pemain tengah Real Madrid, Jude Bellingham menjelaskan peminat perlu menunjukkan kasih sayang terhadap kepada Vinicius Junior dan pasukan secara keseluruhan untuk mendapatkan prestasi terbaik selepas membelasah Monaco 6-1 dalam Liga Juara-Juara, semalam.
Vinicius menjaringkan gol dan memainkan peranan penting terhadap tiga gol lain dalam salah satu persembahan terbaiknya musim ini, beberapa hari selepas menerima ejekan daripada peminat Madrid semasa aksi La Liga menentang Levante.
Penyokong menunjukkan kekecewaan terhadap Vinicius dan Bellingham, terutamanya, serta pasukan secara keseluruhan selepas beberapa prestasi buruk yang membawa kepada pemecatan jurulatih Xabi Alonso dan Madrid tersingkir daripada Copa del Rey.
“(Vinicius) benar-benar tajam, kelihatan berbahaya setiap kali bola di kakinya, mencipta banyak peluang.
“Saya rasa dia adalah pemain yang berkembang apabila menerima kasih sayang. Anda boleh lihat hari ini (semalam) apabila suasana terhadapnya berubah.
“Dia meningkat dengan sangat ketara dalam permainannya dan menjadi lebih menyeronokkan untuk ditonton dan dimainkan bersama.
“Saya rasa itulah tekanan yang hadir daripada siulan itu terhadap seorang pemain. Tetapi sekarang nampaknya dia sedikit bebas daripada belenggu itu dan diharap dia boleh meneruskannya,” katanya. – AFP









