MANCHESTER: Manchester United secara rasmi memecat ketua jurulatih, Ruben Amorim hanya sehari selepas Red Devils terikat seri menentang Leeds United yang sedang bergelut mengelak penyingkiran dalam Liga Perdana Inggeris(EPL).
Dalam satu kenyataan, kelab itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas menilai prestasi semasa pasukan yang kini berada di tangga keenam liga.
“Dengan Manchester United menghuni kedudukan keenam Liga Perdana, kepimpinan kelab dengan berat hati berpendapat inilah masa paling sesuai untuk melakukan perubahan.
“Langkah ini diambil bagi memberi peluang terbaik kepada pasukan menamatkan saingan liga dengan keputusan terbaik,” menurut kenyataan itu.
United kini ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, selain hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir sekaligus rekod yang menambah tekanan terhadap Amorim.
Pemecatan itu hadir sehari selepas jurulatih berusia 40 tahun dari Portugal tersebut secara terbuka mempertikaikan spekulasi mengenai keselamatan jawatannya, sambil menegaskan beliau dibawa ke Old Trafford sebagai pengurus dengan kuasa penuh, bukan sekadar jurulatih yang mengikut arahan pihak atasan.
Amorim sebelum ini kelihatan muram ketika membincangkan isu perpindahan pemain, dan ketegangan semakin memuncak selepas keputusan seri menentang Leeds apabila beliau menunjukkan reaksi jengkel terhadap persoalan mengenai keyakinan lembaga pengarah terhadapnya.
Beliau turut memotong soalan wartawan dengan nada tegas, menyentuh isu “maklumat terpilih”, sebelum mempertahankan pendiriannya secara terbuka.
Walaupun menegaskan tidak berniat meninggalkan Old Trafford dan berulang kali menekankan peranannya sebagai pengurus penuh, kedudukan Amorim akhirnya tidak dapat diselamatkan apabila kelab memutuskan untuk mengubah haluan demi menghidupkan kembali cabaran United dalam baki musim ini.-AGENSI










