SHAH ALAM: Seramai 35 orang pelajar semester tiga, Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi (MC248), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan satu inisiatif pendidikan berimpak tinggi yang dikenali sebagai Emission CMP.
Inisiatif utama di bawah kursus CMP500 – Komunikasi Polisi dan Strategi ini membuktikan komitmen kursus CMP dalam melahirkan graduan yang bersedia dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap profesional untuk memasuki pasaran kerja.
Bagi semester ini, modul utama bagi inisiatif ini ialah GRAD2WORK: “Campus Off, Career On”, sebuah program yang dirangka secara strategik untuk membantu lepasan graduan dan mahasiswa melangkah dengan lebih yakin ke alam pekerjaan. Program ini dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian dari 8 Oktober 2025 hingga 21 Januari 2026 dan menyasarkan lepasan graduan serta pelajar tahun akhir sebagai persediaan awal mereka memasuki dunia kerjaya.
CMP500 dan keseluruhan rangkaian kursus dibawah Program Pengurusan Komunikasi dan Polisi atau lebih dikenali sebagai CMP ini, direka bentuk untuk menggabungkan teori komunikasi polisi dengan pendedahan dunia sebenar, sekali gus menjadikan pelajar lebih kompetitif dan relevan dengan keperluan industri semasa. Melalui inisiatif Emission CMP, pelajar bukan sahaja mengaplikasikan ilmu kelas, malah berpeluang mengurus projek sebenar dengan kolaborasi industri yang menekankan perancangan strategik, hubungan industri dan komunikasi berkesan.
Di bawah bimbingan dan penyeliaan Dr. Yuslinda Mat Yassin, pensyarah kursus CMP500, GRAD2WORK menjadi platform latihan praktikal yang menonjolkan keupayaan pelajar CMP sebagai penganjur program, pencipta kandungan dan penghubung antara mahasiswa dan dunia profesional. Pendekatan ini membantu memperkukuh peranan program CMP dalam mempersiapkan para pelajar untuk kerjaya dalam bidang komunikasi, polisi dan pengurusan strategik.
Melalui inisiatif GRAD2WORK, pelajar telah menjalin kolaborasi strategik bersama GRADUAN Malaysia, platform kerjaya utama dan dipercayai untuk bakat muda di Malaysia, yang membimbing graduan dalam perjalanan mereka untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja negara yang dinamik.
Kolaborasi ini meningkatkan kesedaran tentang peranan GRADUAN Malaysia dalam menyokong kebolehpasaran siswazah serta membuka akses kepada peluang kerjaya dan jaringan profesional
Selain itu, pelajar jawatankuasa GRAD2WORK telah menghadiri GRADUAN ASPIRE+ anjuran GRADUAN Malaysia pada 22 November 2025 yang lalu, sebuah konferens dan acara jaringan inovatif yang menyediakan platform bagi bakat muda berinteraksi dan membina hubungan dengan organisasi terkemuka di Malaysia.
Dengan kehadiran para pelajar ke GRADUAN ASPIRE+ ini, mereka dapat merasai pengalaman pembelajaran melalui perspektif industri yang lebih luas, termasuk peluang latihan industri, pekerjaan pertama, dan pembangunan kemahiran profesional.
Sebagai sebahagian daripada keunikan inisiatif Emission CMP, pelajar telah menganjurkan podcast khas di platform YouTube dengan menampilkan GRADUAN Malaysia sebagai panel.
Podcast ini bukan sahaja membincangkan isu peralihan ke alam pekerjaan dan kemahiran penting untuk graduan, serta strategi membina kebolehpasaran dalam dunia profesional.
Program GRAD2WORK turut dilaksanakan melalui penyampaian kandungan pendidikan di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok bagi memastikan maklumat berkaitan kerjaya disampaikan secara santai, mudah difahami dan sejajar dengan gaya pembelajaran generasi muda.
Menurut Syed Aiman Hafique, ketua projek GRAD2WORK, “Inisiatif ini meletakkan pembangunan belia di Malaysia sebagai fokus utama.
“Kami berharap ia dapat mencipta impak yang signifikan dan berkekalan bagi mempersiapkan graduan di Malaysia dengan kemahiran, keyakinan, dan peluang yang diperlukan agar ia dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masa hadapan negara yang lebih mampan,” katanya.
Secara keseluruhannya, inisiatif Emission CMP: GRAD2WORK “Campus Off, Career On” ini mencerminkan usaha berterusan mahasiswa UiTM dan program CMP dalam menyokong agenda pembangunan graduan negara melalui kolaborasi strategik, kandungan berimpak tinggi serta pendekatan komunikasi yang seiring dengan keperluan industri masa kini. – UTUSAN









