PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN),sekitar pukul 9.30 pagi tadi akibat terjatuh di kediamannya.
Memetik laporan Astro Awani, perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Akhbar bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff.
“Ya beliau dimasukkan ke IJN akibat terjatuh dan kini masih dalam proses pemantauan secara keseluruhan,” katanya.
Menurut Sufi, susulan kejadian itu Dr Mahathir segera dibawa ke IJN dengan menaiki ambulans dari kediamannya.
Sementara itu, seorang pegawai media Pejabat Dr Mahathir memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung keadaan kesihatan Dr Mahathir dalam masa terdekat. – UTUSAN










