Tujuh kejohanan besar menanti skuad menembak negara

Tujuh kejohanan besar menanti skuad menembak negara

SKUAD menembak negara bersedia menjalani latihan bagi mengharungi tujuh kejohanan tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad menembak negara dijangka mengharungi jadual padat pada musim ini apabila bakal menyertai tujuh kejohanan besar dengan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi keutamaan.

Jurulatih menembak negara, Mohamad Firdaus Abd Rahim yang merencana perjalanan skuad kebangsaan pada musim ini bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, sama ada kesemua kejohanan itu dapat disertai semuanya hanya boleh diketahui selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama MSN dalam masa terdekat.

“Mungkin dalam satu atau dua minggu lagi kami akan menjalani bengkel perancangan jurulatih dan di situ akan ditetapkan kejohanan tersebut pada musim ini.

“Kami merangka untuk menyertai Kejohanan Asia di India pada Februari ini malah kami juga ada tiga Piala Dunia sebelum menghadapi Sukan Asia.

“Dan pada masa sama, slot kejohanan besar Piala Dunia adalah persediaan menghadapi Kejuaraan Dunia 2026 yang dijangka menyediakan kuota ke Sukan Olimpik 2028,” katanya.

Selain Kejohanan Asia, skuad menembak negara dijangka beraksi dalam Piala Dunia Granada, Sepanyol pada 5 hingga 14 April sebelum menyertai Piala Dunia Jerman di Munich (24 hingga 31 Mei) dan Piala Dunia Hangzhou, China (20 hingga 29 Julai).

Selepas beraksi di Sukan Asia pada 19 September hingga 4 Oktober, skuad menembak negara dijangka beraksi di Piala Dunia Mesir pada 8 hingga 16 Oktober.

Kejohanan terakhir yang bakal disertai adalah Kejuaraan Dunia Qatar pada 1 hingga 15 November ini yang turut menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN