MELBOURNE: Novak Djokovic memulakan kempen memburu gelaran Grand Slam ke-25 dengan penuh bergaya selepas mencatat kemenangan meyakinkan pada pusingan pertama Terbuka Australia hari ini, manakala pencabar wanita Iga Swiatek dan Coco Gauff turut mara.
Naib juara tiga kali, Daniil Medvedev turut melepasi halangan awal, begitu juga Stan Wawrinka yang berusia 40 tahun apabila pemain veteran itu menghidupkan nostalgia untuk mara ke pusingan kedua pada kejohanan terakhirnya di Melbourne.
Pemain No.4 dunia dari Serbia itu, yang kini berusia 38 tahun, mudah menundukkan pemain Sepanyol di ranking ke-71 dunia Pedro Martinez 6-3, 6-2, 6-2 di Rod Laver Arena, gelanggang yang telah menghadiahkannya 10 gelaran Terbuka Australia, rekod tertinggi kejohanan itu.
Djokovic kini mengumpul 24 gelaran utama, menyamai rekod sepanjang zaman milik legenda Australia, Margaret Court namun gelaran ke-25 masih menjadi sasaran yang belum tercapai.
Kejayaan terakhirnya hadir pada Terbuka Amerika Syarikat 2023, dengan baki lapan gelaran Grand Slam selepas itu dikongsi Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz.
“Apa yang boleh saya katakan?. Menang 100 perlawanan di sini memang sesuatu yang istimewa.
“Saya sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali turun ke gelanggang. Sudah tentu mencipta sejarah menjadi motivasi besar, terutamanya dalam lima hingga 10 tahun terakhir karier saya,” kata Djokovic selepas merakam kemenangan ke-100 di Terbuka Australia.
Juara edisi 2014, Wawrinka pula turut mara apabila mencatat kemenangan empat set ke atas pemain Serbia, Laslo Djere 5-7, 6-3, 6-4, 7-6 (7/4) di hadapan penyokongnya yang memberi sokongan padu.
Pemenang tiga gelaran Grand Slam itu mengesahkan musim ini adalah yang terakhir sebelum bersara dan tetap mempamerkan keazaman tinggi untuk menewaskan lawannya.
“Semangat itu masih ada tetapi saya bukan lagi muda, jadi saya juga perlu lebih berhati-hati,” kata pemain Switzerland itu yang membuat penampilan sulung di Terbuka Australia pada 2006.
Medvedev, naib juara edisi 2021, 2022 dan 2024, meneruskan rentak cemerlang selepas menjuarai kejohanan di Brisbane apabila menewaskan pemain Belanda, Jesper de Jong 7-5, 6-2, 7-6 (7/2) pada aksi pusingan pertama. – AFP










