PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dipaksa bekerja keras sebelum berhasil membenam pasangan kurang ternama, Zhu Yi Jun-Li Qian dari China pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Gandingan No. 4 dunia itu mengambil masa selama 56 minit untuk mengetepikan beregu ke-94 dunia tersebut 21-19, 20-22, 21-10 dalam masa 56 minit.
Tang Jie-Ee Wei belum pernah bertemu beregu pecah ganding China itu dan kejayaan, hari ini, meletakkan mereka kini mendahului 1-0.
Pada peringkat 16 terbaik, esok, Tang Jie-Ee Wei dijangka berdepan sama ada wakil Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai atau beregu tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu No. 11 dunia, Goh Soo Huat-Shevon Jemie Lai yang terpaksa akur kepada gandingan tuan rumah, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil 21-18, 18-21, 20-22 dalam masa 1 jam 2 minit.
Pasangan suami isteri itu yang mendahului 19-15 dan 20-16 dalam set penentuan, bagaimanapun, gagal menyerap tekanan daripada penyokong Indonesia yang memberikan sokongan luar biasa kepada wakil mereka.
Soon Huat-Shevon yang terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia, minggu ini, gagal menyekat Adnan-Indah yang berhasil membalas dendam ekoran kekalahan mereka pada Terbuka Korea, tahun lalu.
Kegagalan itu juga menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua beregu kini terikat menjadi 1-1. – UTUSAN










