KUALA LUMPUR: Skuad wanita hoki 5s Negeri Sembilan menutup tirai Kejohanan Hoki Lima Sebelah (5s) Kebangsaan 2026 sebagai juara selepas menumpaskan Pahang 4-1 dalam kategori bawah 21 tahun, hari ini.
Jurulatih Negeri Sembilan, Than Ghee Wah berkata, perancangan taktikal rapi serta analisis corak permainan lawan berjaya mengurangkan kesilapan serta ruang serangan Pahang dengan lebih berkesan.
“Kita pernah tewas kepada Pahang pada peringkat kumpulan sebelum ini. Jadi, penting untuk kita tahu corak permainan supaya tidak ulang kesilapan lama.
“Hasil analisis itu membantu penambahbaikan taktikal secara menyeluruh dan akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Menurut Than, disiplin pemain yang mantap turut menjadi kunci kemenangan apabila Negeri Sembilan berjaya mengekang percubaan serang sekali gus menyukarkan Pahang untuk menembusi gawang gol.
Empat gol Negeri Sembilan dalam aksi final kejohanan berkenaan disumbangkan oleh Irdina Mardihah Azmi, Nur Zariefah Dania Mazlan (dua gol) dan Natashanajwa Nasharuddin.
Mengulas hala tuju seterusnya, Than berkata fokus pasukan bakal tertumpu kepada penyertaan dalam ‘Non-SUKMA Games’ serta Liga Remaja sebagai persediaan musim tahun ini. – UTUSAN










