PETALING JAYA: Ketua jurulatih ragbi tujuh sebelah (7s) negara, Nik Safuan Ismade Nik Man menghamburkan pujian kepada pemainnya apabila muncul juara dalam Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2026 di Stadium Yio Chu Kang, Singapura, hari ini.
Malaysia menewaskan Thailand 10-5 di pentas akhir kejohanan sekali gus melunaskan dendam apabila tewas kepada lawan yang sama pada edisi 2025.
Nik Safuan berkata, pujian wajar diberikan kepada pemain apabila menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan tersebut.
“Walaupun tempoh persiapan singkat namun komitmen yang diberikan oleh pemain amat memberangsangkan dan mereka telah menunjukkan potensi sebenar pasukan ragbi 7s negara,” katanya.
Malaysia mara ke pentas akhir kejohanan selepas muncul juara Kumpulan B apabila membelasah Kemboja 66 tanpa balas kemudian menewaskan Brunei 57-7 serta menundukkan Singapura 38-0 di venue yang sama, semalam.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa skuad ragbi wanita negara apabila mereka terpaksa akur di tempat kedua selepas tewas 41-0 kepada Thailand dalam aksi final kejohanan. – UTUSAN










