PETALING JAYA: Pemain import baharu Selangor FC (SFC), Mahame Siby bersedia menyahut cabaran apabila meninggalkan zon selesanya dengan memilih Malaysia sebagai destinasi pertama kariernya di Asia bersama kelab Gergasi Merah itu.
Sebelum ini, perjalanan profesional pemain berusia 29 tahun itu hanya berlegar di Eropah, khususnya di Perancis selepas pernah beraksi di pentas Ligue 1 bersama RC Strasbourg selain mewakili Valenciennes FC dan Paris FC, sebelum berhijrah ke Sweden bersama Malmo FF.
Pengalaman luas di benua Eropah itu bagaimanapun tidak menghalang Siby daripada menyahut cabaran baharu, malah dia mengakui tidak sabar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, budaya serta corak permainan di Liga Malaysia dengan semangat dan keyakinan tinggi.
“Saya sudah bersedia untuk keluar dari zon selesa dan menghadapi cabaran baru di tempat saya tidak pernah jejaki seperti di Asia.
“Selain itu, saya juga tidak sabar untuk menerokai keindahan budaya yang berbeza di Malaysia, menjalin hubungan yang baik dengan mereka serta belajar daripada pengalaman saya akan dapat di sini,” katanya menerusi kenyataan di SFC.
Siby turut bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk membalas kepercayaan dan sokongan daripada penyokong setia The Red Giants.
“Saya dengar bahawa penyokong di sini sangat setia dan sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa kepada pasukan. Jadi, saya berharap dapat membalasnya dengan memberikan komitmen penuh serta berikan segala yang saya ada di atas padang.
“Saya ingin meninggalkan kesan yang positif dan berkekalan, bukan sahaja kepada penyokong tetapi juga kepada kelab,” katanya.-UTUSAN










