Seorang kru helikopter Super Lynx alami masalah paru-paru

Seorang kru helikopter Super Lynx alami masalah paru-paru

ADLY Zahari melawat Mohamad Zulfika Mohiddi diiringi Shamsuddin Ludin (kiri) yang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang kru helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam insiden pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang di sini, pada pukul 10.50 malam semalam kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Leftenan Afiq Muzani Abdul Aziz mengalami masalah paru-paru berikutan kemalangan yang berlaku.

Katanya, seorang lagi mangsa, Bintara Kanan Juruteknik Marin Mohamad Zulfika Mohiddi masih mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan hospital sama.

“Dua lagi mangsa iaitu Leftenan Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

“Kita sedang mengusahakan Mohammad Zulfika untuk dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut untuk memudahkan rawatan susulan dilakukan ke atas mangsa,” katanya ketika ditemui selepas melawat kedua-dua mangsa hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Terdahulu, TLDM memaklumkan, insiden tersebut berlaku ketika helikopter sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat di Encore, Klebang.

Empat kru yang berada dalam helikopter berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Adly berkata, Afiq Muzani akan terus mendapat rawatan di ICU Hospital Melaka sehingga pulih sepenuhnya.

Ditanya mengenai punca insiden, beliau berkata, lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berkata, usaha sedang dijalankan untuk membawa pulang helikopter yang tenggelam di perairan ke Pangkalan TLDM di Lumut, Perak.

Katanya, misi menyelamat aset bermula sejak pagi tadi dan dijangka selesai petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN