PETALING JAYA: Sentuhan Kim Pan-gon terus menjadi apabila Selangor FC mengukuhkan cengkaman di kelompok teratas Liga Super hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, sebentar tadi.
Kejayaan itu menyaksikan Gergasi Merah melonjak ke tangga kedua liga dengan 31 mata, sekali gus melebarkan jurang dengan pencabar terdekat selepas KL City FC dan Kuching City FC masing-masing kecundang dalam aksi berasingan.
Lebih manis, kemenangan berkenaan menandakan permulaan sempurna buat Pan-gon yang kini mencatat dua kemenangan berturut-turut sejak mengambil alih tugas sebagai pengendali Selangor.
Tuan rumah bermula agresif dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi rembatan Chrigor Moraes, namun ketangkasan Azri Ab Ghani menafikan hasrat itu.
Selangor jelas mendominasi permainan dengan serangan bertali arus dari kedua-dua sayap, namun ketumpulan penyudah menyaksikan keputusan terikat tanpa jaringan hingga rehat.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-60 apabila Nooa Laine muncul wira Selangor dengan tandukan padu yang menewaskan Azri hasil hantaran lintang kemas, sekali gus menceriakan kem Selangor.
Negeri Sembilan hampir mencuri gol penyamaan pada penghujung perlawanan menerusi Anuar Ceesay, namun refleks pantas Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi memastikan gawang Selangor kekal kebal.
Walaupun Moraes dan Faisal Halim mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan, keputusan 1-0 sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan ke-10 musim ini buat Selangor.-UTUSAN










