PADAWAN: Sarawak akan mengkaji semula hala tuju Ujian Penilaian-Program Dwibahasa (UP-DLP) sekiranya peperiksaan peringkat kebangsaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilaksanakan semula.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kementeriannya akan mengambil pendekatan berhemah dalam menyelaraskan inisiatif pendidikan di negeri ini, dengan sebarang perubahan dasar di peringkat persekutuan.
“Kita akan melihat perkara ini dengan lebih lanjut apabila sampai masanya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Hari Pertama Persekolahan 2026 di SMK Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengkaji semula keperluan untuk mengembalikan UPSR dan PT3 selepas mengambil kira keluhan ramai ibu bapa berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut, masing-masing pada 2021 dan 2022.
Dalam pada itu, Sagah berkata beliau secara peribadi berharap UPSR dan PT3 dilaksanakan semula.
“Peperiksaan tersebut sebelum ini menyediakan penanda aras yang lebih jelas untuk menilai kemajuan akademik murid pada peringkat penting persekolahan mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UP-DLP mempunyai tujuan khusus dalam sistem pendidikan Sarawak, khususnya memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
“Perlu diingat bahawa UP-DLP adalah dalam Bahasa Inggeris,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata program itu dilaksanakan secara berperingkat, dengan pengambilan tahun lalu melibatkan murid Tahun Enam.
“Di bawah pelan pelaksanaan semasa, kohort pertama pelajar di bawah UP-DLP dijangka mencapai Tingkatan Tiga dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN










