SERI KEMBANGAN: Pelaksanaan semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), bukanlah suatu keputusan yang terburu-buru ekoran masih di peringkat kajian.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, kajian dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keputusan dibuat berdasarkan pemahaman, fakta dan kepentingan pendidikan murid dan bukan dilaksanakan dengan terburut-buru.
Menurutnya, kajian itu sedang diteliti oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan masih berada pada peringkat kajian dan akan dilaksanakan tahun ini.
“Keputusan berkenaan kajian yang akan dilakukan tahun ini bukanlah satu perkara yang bersifat terburu-buru memandangkan ianya dilaksanakan bagi menambah baik sistem pendidikan negara.
“Kajian ini bukan bermaksud pelaksanaan peperiksaan akan dilakukan serta-merta, sebaliknya melalui proses teliti, strategik melibatkan pihak berkaitan.
“Keputusan berkaitan UPSR dan PT3 perlu dibuat dengan kesedaran serta pemahaman jitu supaya pendidikan murid tidak terjejas akibat tindakan terburu-buru atau keputusan yang tidak menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau hari pertama pembukan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, cadangan untuk mengkaji pelaksanaan semula Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) menggambarkan ketidakstabilan dasar pendidikan negara.
Tambah Mohd. Azam, walaupun Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) menilai murid secara holistik termasuk akademik, sahsiah dan kokurikulum, ibu bapa masih cenderung menilai pencapaian anak berdasarkan peperiksaan berpusat.
Namun, kementerian masih belum membuat keputusan sama ada pelaksanaan PBD akan digabungkan dengan peperiksaan berpusat atau tidak.
“Kita faham PBD menilai murid secara menyeluruh, bukan hanya akademik. Namun, ibu bapa biasanya mahu melihat pencapaian akademik dengan jelas. Jika PT3 diwujudkan semula, ia perlu berjalan seiring PBD supaya penilaian lebih seimbang dan menyeluruh,” katanya. – UTUSAN










