PETALING JAYA: Pelakon, Kamal Adli terus mencuri perhatian warganet apabila memuat naik satu dialog menyentuh perasaan yang menggambarkan kesukaran meraih cinta wanita yang dicintainya.
Perkongsian tersebut dipercayai dialog daripada filem Munajat Cinta yang mengisahkan seorang suami reda menerima takdir perceraian yang telah ditentukan Allah SWT.
“Mungkin Allah sudah tentukan nasib aku begini, yang aku sampai bila-bila pun tak akan dapat cinta kau walaupun sampai aku mati sekalipun.
“Mulai daripada hari ini, aku bukan lagi suami kau dan aku ceraikan kau dengan talak satu,” menurut dialog berkenaan.
Malah, Kamal turut menyertakan perkataan ‘rapuh’ bersama emoji hati yang retak dalam hantaran tersebut.
Rata-rata peminat menyifatkan perkongsian itu sebagai gambaran fasa kerapuhan Kamal dalam merelakan perceraiannya bersama pelakon, Uqasha Senrose.
“Terima kasih tunjukkan contoh terbaik bagaimana lelaki mengawal diri selepas perceraian. Terima kasih kerana berjuang mempertahankan masjid dan masih menjaga aib keluarga,” tulis seorang peminat.
“Walaupun dialog ini untuk filem, tak sangka pula kena dengan kehidupan Kamal,” komen seorang lagi peminat.
“Percayalah, jalan Allah itu sentiasa baik-baik sahaja,” ujar seorang warganet.
Terdahulu, pada 12 Januari lalu, Kamal Adli dan Uqasha Senrose menemui titik noktah dalam perkahwinan mereka apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd. Ali kira-kira pukul 12.56 tengah hari mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. – UTUSAN










