PUTRAJAYA: Kerajaan komited melaksanakan keputusan berkaitan pemberian 40 peratus hasil kepada Sabah dan proses perbincangan rasmi telah dimulakan seperti diarahkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebelum ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, turut dibincangkan hari ini termasuk status pelaksanaan keputusan mahkamah serta perkembangan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Saya juga telah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai jumlah mesyuarat yang telah diadakan dalam tempoh 90 hari yang mana 90 hari daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu berakhir pada hari ini.
“Dan dalam tindakan adalah mesyuarat kedua yang akan diadakan pada bulan ini, maksudnya dalam satu ke dua minggu ke depan ini antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga seterusnya kerajaan negeri Sabah sebagai lanjutan kepada perbincangan awal yang telah diadakan pada November lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud akan memperinci kedudukan dan hala tuju rundingan itu dalam masa terdekat. – UTUSAN










