BERLIN: Augsburg mencipta kejutan besar apabila menewaskan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich 2-1 sekali gus menamatkan rekod 27 perlawanan tanpa kalah juara bertahan itu sejak Mac tahun lalu.
Bayern bermula garang dan mendahului perlawanan menerusi tandukan Hiroki Ito hasil sepakan penjuru Michael Olise pada minit ke-23.
Bagaimanapun, Augsburg bangkit pada separuh masa kedua apabila Arthur Chaves memanfaatkan kesilapan penjaga gol simpanan Bayern, Jonas Urbig untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-76.
Enam minit kemudian, Han-Noah Massengo melengkapkan kebangkitan pelawat dengan penyudah kemas hasil gerakan berpasukan yang mengukir kemenangan sensasi.
Pemain tengah Bayern, Joshua Kimmich mengakui kekalahan itu adil sambil berkata pasukannya gagal mempamerkan tahap permainan terbaik dan perlu memberi reaksi positif selepas ini.
“Kami perlu terima hakikat ini kerana kemenangan tidak semestinya milik kami dan perkara paling penting sekarang adalah bagaimana kami bangkit,” kata Kimmich.
Di tempat lain, Bayer Leverkusen memanfaatkan kekalahan Bayern untuk mengekalkan status satu-satunya juara Bundesliga tanpa kalah selepas menewaskan Werder Bremen 1-0.
RB Leipzig, Hoffenheim dan Mainz turut mencatat kemenangan penting masing-masing bagi mengukuhkan kedudukan dalam persaingan liga ketika musim semakin memasuki fasa kritikal. – AGENSI










