PETALING JAYA: Sabah FC mengukuhkan barisan pertahanan mereka apabila mengumumkan kemasukan pemain berdarah Thailand-Sepanyol, Ernesto Phumipha.
Ini selepas pengurusan Sang Badak mengumumkan perpindahan pemain tersebut dalam satu kenyataan rasmi pasukan.
“Selamat datang ke Negeri Di Bawah Bayu, Ernesto!” ujar pengurusan kelab dalam satu kenyataan rasmi.
Phumipha yang berpengalaman luas ini sebelum ini pernah beraksi dengan pasukan ternama seperti Real Oviedo, Sporting Gijon B dan beberapa kelab terkemuka Thailand seperti Buriram United dan BG Pathum United.
Malah, beliau juga pernah menjadi rakan sepasukan penyerang muda negara, Fergus Tierney, ketika dipinjamkan ke Nakhonpathom United.
Pengalaman dan kualiti Phumipha diharap dapat memberikan nafas baharu dan menambah kekuatan Sang Badak menjelang baki saingan Liga Super.
Phumipha kini bersedia untuk mengukir sejarah baharu di Negeri Di Bawah Bayu, menguatkan lagi barisan pertahanan Sabah FC yang kini bertekad mencipta kejutan dalam saingan musim ini.-UTUSAN










