PETALING JAYA: Ketua jurulatih Sabah FC, Jean Paul de Marigny menyifatkan layangan kad merah kepada Miguel Cifuentes ‘pelik’ yang memberi kesan besar terhadap hala tuju perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Sabah yang tampil ke final Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun membawa harapan besar untuk mencabar dominasi juara bertahan itu, namun segala perancangan musnah selepas Sang Badak terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal babak kedua.
Miguel Cifuentes dilayangkan kad merah selepas didakwa melakukan kekasaran lewat ke atas Jonathan Silva, satu keputusan yang menurut Marigny sukar diterima berdasarkan kedudukan sebenar pemain ketika insiden berlaku.
“Saya bukan jenis yang suka bercakap mengenai pengadil kerana itu tugas yang amat sukar, tetapi secara jujurnya, dua keputusan utama dalam perlawanan ini agak aneh pada pandangan saya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan kelmarin.
Mengulas lanjut kad merah Cifuentes, Marigny merasakan pertahanan JDT, Jonathan Silva berada di posisi belakang dan sepatutnya dilayangkan kad kuning, bukannya sebaliknya.
“Dalam situasi itu, pemain kami berada di hadapan. Pada pendapat peribadi saya, pertahanan lawan patut menerima kad kuning, tetapi keputusan yang dibuat berbeza,” katanya.
Kehilangan Cifuentes hampir 40 minit memaksa Sabah bertahan dalam tekanan berterusan sebelum akhirnya tunduk 5-0, dengan empat gol dihasilkan oleh pemain JDT berbeza selain satu jaringan sendiri Rawilson Batuil.
Marigny turut merujuk kepada pembatalan jaringan Ajdin Mujagic pada minit ke-28 yang sebelum itu berjaya menceriakan kem Sabah, namun dibatalkan selepas pengadil merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) .
“Kami menjaringkan gol yang sangat cantik, tetapi dibatalkan. Itu amat mengecewakan, bukan sahaja kepada pasukan, malah kepada pemain yang bekerja keras di atas padang,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengendali dari Australia itu mengakui berdepan JDT dalam perlawanan akhir sentiasa menjadi ujian besar.
“Ini memang perlawanan akhir yang sukar, apatah lagi menentang pasukan terbaik negara ketika ini,” katanya.
Kejayaan tersebut menyaksikan JDT terus mengukuhkan status sebagai kuasa bola sepak tempatan apabila menjulang Piala FA buat kali keempat berturut-turut sejak 2022 dan kejuaraan kelima keseluruhan dalam sejarah kelab. – UTUSAN










