PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah, melepasi RM3 trilion buat kali pertama, tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian penting ekonomi negara itu adalah hasil mengekalkan hubungan perdagangan yang baik dengan rakan dagang, termasuk Amerika Syarikat (AS), Eropah, China, selain berjaya meneroka rantau dan kawasan baharu bagi meningkatkan pasaran perdagangan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mengambil tindakan proaktif meneroka bidang dan pasaran baharu, selain teknologi baharu.
“Sejarah tercipta, dengan jumlah perdagangan untuk 2025 mencecah RM3 trilion buat kali pertama.
“Itu sebab saya rumuskan perlunya penjelasan dasar, disiplin dan tatakelola yang baik serta menerobos pasaran baharu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah perdagangan Malaysia pada 2025 mencecah RM3.061 trilion, meningkat 6.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh prestasi eksport dan import yang kedua-duanya mencatat pertumbuhan positif.
“Nilai eksport negara meningkat 6.5 peratus kepada RM1.607 trilion, tertinggi dalam sejarah, didorong oleh penghantaran kukuh ke rakan dagang utama seperti ASEAN, Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah, khususnya bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit.
“Bagi import pula, nilainya meningkat 6.2 peratus kepada RM1.455 trilion, didorong terutamanya oleh barangan perantaraan dan barangan modal yang menyokong sektor pembuatan dan aktiviti berorientasikan eksport,” katanya.
Mengulas lanjut, Matrade berkata, lebihan perdagangan Malaysia turut meningkat 9.2 peratus kepada RM151.8 bilion pada 2025, sekali gus mengekalkan rekod lebihan perdagangan selama 28 tahun berturut-turut sejak 1998.
“Perdagangan dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) melepasi RM2 trilion buat pertama kali, menyumbang 65.5 peratus kepada jumlah perdagangan negara, manakala eksport ke rakan FTA meningkat bagi tahun kedua berturut-turut kepada RM1.067 trilion,” katanya.
Menurutnya, prestasi memberangsangkan itu turut disokong oleh strategi kepelbagaian pasaran eksport, dengan peningkatan ketara ke pasaran sedang pesat membangun di Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.
“Pertumbuhan ini selari dengan usaha diplomasi ekonomi kerajaan untuk memperluas akses pasaran dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.
“Sokongan dasar menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dan berteraskan teknologi,” katanya. –UTUSAN










