PETALING JAYA: Kehadiran Kim Pan Gon bersama Selangor FC disifatkan sebagai langkah strategik yang diambil oleh pengurusan Gergasi Merah namun penyokong diingatkan agar tidak mengharapkan perubahan drastik dalam tempoh singkat daripada bekas pengendali Harimau Malaya itu.
Walaupun memiliki reputasi sebagai jurulatih berprofil besar dan berpengalaman membina pasukan kompetitif, Pan Gon bukan ‘ahli silap mata’ yang mampu mengubah wajah pasukan sekelip mata tanpa sokongan penuh daripada pengurusan kelab.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd. Faizal Wahid menyifatkan tindakan pantas pengurusan Selangor FC mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Korea Selatan itu sebagai perkembangan positif yang wajar dipuji.
Menurutnya, keupayaan Selangor membawa masuk Pan Gon membuktikan kesungguhan kelab dalam memperkukuhkan pasukan, apatah lagi jurulatih berkenaan dipercayai turut menjadi buruan beberapa pasukan lain.
“Ia satu berita yang menggembirakan buat penyokong kerana Selangor FC berjaya mendapatkan jurulatih berprofil tinggi dan terbukti berkemampuan.
“Langkah pantas ini penting kerana Pan Gon bukan calang-calang jurulatih dan pastinya berada dalam radar pasukan lain,” katanya.
Bagaimanapun Faizal menegaskan Pan Gon tetap memerlukan masa mencukupi untuk memahami pasukan secara menyeluruh, walaupun beliau mungkin sudah mengenali beberapa pemain sebelum ini.
“Ruang dan kesabaran daripada penyokong amat penting bagi membolehkan Pan Gon merangka perancangan mengikut acuan sendiri, selain menyesuaikan falsafah permainan yang mahu diterapkan.
“Peranan pengurusan Selangor FC untuk memberikan sokongan penuh kepada ketua jurulatih baharu itu, khususnya berkaitan keperluan pemain bagi memperkukuhkan pasukan,”jelasnya.
Terdahulu, Selangor FC mengesahkan pelantikan Pan Gon sebagai ketua jurulatih baharu, manakala Christophe Gamel yang sebelum ini mengendalikan pasukan secara sementara kini dilantik sebagai Pengarah Teknikal.
Mengulas sasaran musim ini, Faizal menyifatkan kehadiran Pan Gon sebagai permulaan kukuh dalam perancangan jangka panjang pasukan, namun menegaskan penyokong perlu kekal realistik.
“Untuk musim ini, sasaran yang munasabah adalah menamatkan saingan liga di kedudukan kedua dan cuba mencatat keputusan positif dalam Piala Malaysia,” katanya.-UTUSAN










