PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah bergelut sebelum melepasi halangan pusingan pertama setelah menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Gandingan No. 1 Malaysia itu diheret beraksi sehingga ke rubber set oleh Corbett-Gai yang menghuni ranking ke-36 dunia sebelum menang 21-15, 20-22, 21-19 dalam masa 49 minit.
Pada pusingan kedua, Khamis ini, pilihan pertama itu dijangka berdepan sama ada beregu Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr atau Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao dari Taiwan.
Turut mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah, beregu lelaki No. 9 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang meraih kemenangan straight set ke atas Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat 21-15, 21-17 dalam masa 31 minit.
Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan keempat bakal bertemu sama ada pasangan Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo atau Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan.
Satu lagi beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong pula menundukkan gandingan adik beradik Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-13, 21-18 dalam masa 30 minit.
Pasangan ke-27 dunia itu bakal mengharungi ujian getir apabila dijadual menentang beregu tuan rumah yang menghuni ranking No. 7 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di peringkat seterusnya.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa tiga lagi wakil Malaysia iaitu dua beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri serta gandingan wanita, Chong Jie Yu-Vanessa Ng yang tewas kepada lawan masing-masing. – UTUSAN










