PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mudah melangkah ke perlawanan akhir selepas membenam pasangan tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu pada separuh akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Pilihan pertama itu hanya mengambil masa selama 32 minit untuk menumbangkan beregu pecah ganding tersebut menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-9 di Istora Senayan.
Kemenangan tersebut meletakkan Pearly-Thinaah mendahului rekod pertemuan 1-0 ke atas Lanny-Apriyani yang merupakan beregu baharu digandingkan bersama.
Pada perlawanan akhir, esok, Pearly-Thinaah akan berdepan satu lagi pasangan yang baru digandingkan, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi dari Jepun.
Tiada rekod pertemuan membabitkan kedua-dua beregu dan berdasarkan prestasi serta ranking pasangan No. 1 Malaysia itu, Pearly-Thinaah seharusnya tidak berdepan masalah untuk membawa pulang gelaran sulung musim ini.
Namun, dalam masa sama, beregu bimbingan Rosman Razak itu perlu berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa kejutan di tangan lawan kurang ternama ekoran ketiadaan data untuk dirujuk mengenai kekuatan gandingan Jepun itu. – UTUSAN










