PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan cabaran wakil Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsaard pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Gandingan No. 20 dunia itu menewaskan beregu yang menghuni ranking ke-51 dunia dalam aksi yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 13-21, 21-6, 21-17 dalam masa 46 minit.
Kedua-dua beregu belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini dan kejayaan Pang Ron-Su Yin pada kejohanan Super 500 itu merupakan kemenangan sulung mereka ke atas beregu dari negara tetangga tersebut.
Pada pusingan kedua, esok, Pang Ron-Su Yin akan melayan tentangan sama ada daripada wakil China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui atau Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh dari Taiwan.
Bagaimanapun, kemaraan Pang Ron-Su Yin gagal diikuti beregu profesional Malaysia, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang tumpas kepada pasangan tuan rumah, Dejan Ferdinansyah-Bernadine Anindya Wardana 10-21, 17-21 dalam 38 minit.
Kekalahan menimpa Jimmy-Pei Jing di tangan Dejan-Bernadine adalah kali kedua selepas beregu negara yang berada di ranking ke-25 dunia itu juga tumpas kepada lawan sama pada Malaysia Super 100, tahun lalu. – UTUSAN










