Pan Gon seru pemain kuasai permainan lawan CAHN

Pan Gon seru pemain kuasai permainan lawan CAHN

KETUA Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon (dua dari kiri) berjabat tangan dengan pengendali CAHN, Mano Polking menjelang aksi Kumpulan A ACC, malam esok.-IHSAN SFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC (SFC), Kim Pan Gon mahu anak buahnya menguasai sepenuhnya permainan ketika menentang Cong An Ha Noi (CAHN) pada aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab-Kelab Asean (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Skuad Gergasi Merah masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dan kini menghuni tangga kedua dengan lima mata, sekali gus meletakkan Selangor dalam posisi terbaik untuk memburu slot ke peringkat kalah mati.

Sejak mengambil alih tugas sebagai pengendali pada 5 Januari lalu, Pan Gon turut berhasrat memburu kemenangan kelima berturut-turut dan menganggap perlawanan menentang wakil Vietnam itu sebagai penentu penting dalam kempen kumpulan.

“Kami menghormati CAHN kerana mereka sebuah pasukan yang sangat kuat, khususnya dari segi organisasi permainan. Saya telah menonton beberapa perlawanan mereka,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan.

Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu yakin Selangor memiliki kekuatan tersendiri dan mahu pasukannya mengawal serta mendominasi perlawanan selari dengan identiti permainan yang sedang dibentuk.

“Pada masa sama, kami juga kuat. Kami sedang membangunkan DNA dan cara permainan Selangor dengan memberi penekanan kepada penguasaan perlawanan. Walaupun mereka kuat, saya percaya kami berada di landasan yang betul.

“Saya berharap pemain beraksi dengan penuh keyakinan dan mempamerkan aksi terbaik,”ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih CAHN, Mano Polking mengakui Selangor memiliki barisan pemain berkualiti dan berada dalam momentum kemenangan yang positif.

CAHN ketika ini berada di kedudukan keempat daripada enam pasukan dengan empat mata selepas tiga perlawanan.

Polking berkata, pengalamannya bersama Liga Thailand dan skuad kebangsaan Thailand memberi kelebihan untuk memahami kekuatan beberapa pemain Selangor, termasuk kapten pasukan, Faisal Halim serta penyerang Chrigor Moraes yang pernah beraksi bersama Buriram United.

“Saya mengenali beberapa pemain Selangor termasuk dua bekas pemain kebangsaan Thailand, Picha Autra dan Kevin Deeromram, walaupun mereka kini kembali ke Liga Thailand.

“Chrigor pernah menjadi penyerang yang hebat bersama Buriram United dan masih menunjukkan prestasi baik. Sudah tentu, kapten Selangor juga adalah pemain yang saya kagumi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN