PETALING JAYA: Selangor FC mengesahkan pelantikan Kim Pan Gon sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad Gergasi Merah, sekali gus menyaksikan kepulangan pengendali dari Korea Selatan itu ke arena bola sepak Malaysia.
Pengumuman rasmi dibuat menerusi hantaran di laman media sosial kelab hari ini, dengan Pan Gon diberikan kepercayaan untuk mengemudi pasukan utama Selangor bagi baki musim Liga Malaysia 2025/26 dan seterusnya.
”Selangor Football Club (Selangor FC) hari ini secara rasmi mengumumkan pelantikan Kim Pan Gon sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah bagi baki musim 2025/26 dan seterusnya,” kata kenyataan tersebut.
Pelantikan itu dilihat sebagai langkah strategik Selangor dalam usaha memperkukuh prestasi pasukan, memanfaatkan pengalaman luas Pan-gon yang sebelum ini pernah membimbing skuad kebangsaan Malaysia dari 2022 hingga 2024.
Sementara itu, bekas ketua jurulatih Interim, Christophe Gamel telah dilantik sebagai pengarah teknikal skuad Gergasi Merah Kuning itu berkuatkuasa hari ini.
Nama Pan Gon bukan asing dalam kalangan peminat tempatan, malah reputasinya sebagai jurulatih berdisiplin tinggi dan menekankan struktur permainan moden menjadikan kehadirannya kembali ke Liga Super sebagai satu tarikan besar.
Ujian pertama menanti Pan-gon bersama Selangor apabila skuad Merah Kuning dijadual berdepan DPMM FC dalam aksi Liga Super di Brunei, pada 10 Januari ini.
Selangor berharap sentuhan Pan-gon mampu membawa nafas baharu serta melonjakkan kembali cabaran pasukan itu dalam perebutan kejuaraan domestik.-UTUSAN










