Melaka FC hampa gagal atasi Sabah FC

Melaka FC hampa gagal atasi Sabah FC

PENYERANG Sabah FC, Darren Lok melakukan rembatan ke gawang Melaka FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam tadi.-UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka FC hampa apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 ketika berdepan Sabah FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Tiga minit sebelum babak hendak ditamatkan Melaka FC seolah-olah bakal meraih kemenangan selepas mendahului Sabah FC 2-1.

Bagaimanapun, pemain Sabah, Fergus Tierney berjaya meledakkan jaringan penyamaan bagi mengikat kedudukan 2-2 hingga tamat perlawanan.

Melaka FC yang masih segar dengan kemenangan 3-0 menewaskan PDRM FC dalam aksi Liga Super Rabu lalu, harus menyalahkan diri sendiri berikutan kelekaan membolehkan pelawat mengikat kedudukan.

Tugas berat menanti anak didik jurulatih E. Elavarasan yang akan berdepan Sabah sekali lagi di Kota Kinabalu pada 22 Januari bagi mengharungi aksi kedua untuk menentukan pasukan yang layak ke suku akhir.

Seawal minit kedua pelawat tergamam apabila Muhammad Sharel Fikri meledakkan jaringan pertama buat Melaka FC menerusi serangan pantas tuan rumah bermula dengan Muhammad Umar Hakem yang melorongkan bola, sebelum disudahkan Sharel menerusi rembatan kencang menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Sabah yang tersentak dengan gol awal tersebut mengandakan asakan dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-14 menerusi penyerang import Sabah dari Bosnia-Herzegovina, Ajdin Mujagic yang merembat kencang
ke penjuru kanan pintu gol Melaka menewaskan Muhammad Haziq Aiman.

Bagaimanapun, pengadil Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) bagi memastikan Ajdin tidak berada pada posisi offsaid sebelum mengesahkan jaringan itu.

Pada minit ke-36, Melaka mencipta jaringan kedua menerusi pemain import dari Korea, Kwangil Pak selepas menerima lorongan dari sebelah kiri Umar Hakem untuk meletakkan Melaka kembali di depan.

Pada minit ke-81, tuan rumah hampir menambah jaringan ketiga menerusi pemain gantian Abdul Azim Rahim namun sepakannya berjaya ditepis Damien Chen.

Pada minit ke-87 Sabah berjaya mengikat kedudukan 2—2 hasil jaringan Fergus Tierney.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN