Man City belanja RM108 juta 'ikat' Guehi

Man City belanja RM108 juta ‘ikat’ Guehi

MARC Guehi (kiri) bersama pengarah bola sepak Manchester City, Hugo Viana selepas menandatangani kontrak di Etihad malam ini. – IHSAN FB MANCHESTER CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester City secara rasmi mengesahkan kehadiran pertahanan England, Marc Guehi selepas menandatangani kontrak selama lima setengah tahun daripada Crystal Palace, menurut kenyataan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, malam ini.

Juara bertahan EPL itu dilaporkan mempercepatkan rundingan bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun tersebut dengan nilai perpindahan sekitar 20 juta pound (RM108 juta), susulan krisis kecederaan yang menjejaskan barisan pertahanan tengah mereka ketika ini.

Langkah City membawa masuk Guehi bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan skuad kendalian Pep Guardiola berdepan kekurangan pilihan di posisi berkenaan, sekali gus memerlukan suntikan segera bagi mengekalkan kestabilan pasukan dalam saingan domestik dan Eropah.

Guehi, yang sebelum ini menjadi tonggak utama Crystal Palace, dijangka memberikan impak besar dengan pengalaman serta ketenangan dimilikinya, selain kemampuan membaca permainan dan kepimpinan di benteng pertahanan.

“Saya amat gembira dan berasa amat bangga menjadi pemain Manchester City. Perpindahan ini terasa seperti kemuncak kepada segala kerja keras saya sepanjang karier.

“Saya kini berada di kelab terbaik di England dan sebahagian daripada skuad yang luar biasa.

“Saya mahu terus berkembang sebagai pemain dan individu dan saya tahu di kelab ini perkara itu boleh direalisasikan,” kata Guehi dalam kenyataan yang dikeluarkan kelab.

Pengarah bola sepak City, Hugo Viana menyifatkan Guehi sebagai antara pertahanan terbaik England sejak beberapa musim lalu.

“Kami berasakan sudah mengikat bakat besar yang mampu meningkatkan pasukan. Walaupun baru berusia 25 tahun, dia sudah membuktikan kualiti kepimpinan, profesionalisme tinggi dan keinginan kuat untuk terus berkembang,” jelasnya.

Guehi hampir menyertai Liverpool pada hari terakhir jendela perpindahan September lalu dan kini menjadi rekrut kedua City pada jendela Januari selepas ketibaan pemain sayap Antoine Semenyo dari Bournemouth minggu lalu dengan nilai sekitar 65 juta pound (RM353 juta).

Pemain pertahanan itu sebelum ini mengetuai Palace menjuarai Piala FA pada Mei lalu menentang City, trofi utama pertama dalam sejarah kelab London berkenaan, selain sudah mengumpul 26 penampilan bersama England.

Beberapa kelab lain termasuk Liverpool dan Bayern Munich dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat Guehi, dengan perancangan dibuat pada hujung musim memandangkan dia akan berstatus ejen bebas.

Masalah pertahanan City semakin ketara apabila John Stones, Ruben Dias dan Josko Gvardiol semuanya terlepas aksi kekalahan 0-2 kepada Manchester United di Old Trafford, kelmarin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN