Sunderland terlalu kebal buat City

Sunderland terlalu kebal buat City

Pemain pertahanan Manchester City, Josko Gvardiol (tengah) bertarung berebut bola dengan pertahanan Sunderland, Lutsharel Geertruida dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium of Light, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNDERLAND: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola kecewa apabila jentera serangan pasukannya gagal menterjemah dominasi kepada gol selepas mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Sunderland pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium of Light itu, City menguasai hampir keseluruhan permainan, namun ketumpulan di hadapan gawang menyaksikan beberapa peluang keemasan disia-siakan, termasuk percubaan yang sekadar menggegar palang serta satu gol yang dibatalkan kerana ofsaid.

Guardiola tidak berselindung menyuarakan kekecewaan terhadap penyudah anak buahnya, terutama dalam situasi yang sepatutnya mudah.

“Kami mencipta banyak peluang di kawasan enam ela, peluang yang tidak sukar, tetapi gagal disudahkan. Di tahap ini, perkara seperti itu memberi perbezaan besar,” katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan City kekal di tempat kedua liga, empat mata di belakang Arsenal, sekali gus gagal menamatkan rekod tanpa kalah Sunderland di laman sendiri musim ini.

Walaupun City tampil lebih kemas dan tenang pada separuh masa kedua dengan variasi serangan dari tengah dan sayap, disiplin tinggi pertahanan tuan rumah serta sorakan padu penyokong memastikan gawang Sunderland kekal kebal.

“Separuh masa kedua kami jauh lebih baik dan pemain sudah memberikan segalanya. Namun kami tidak boleh terus meratapi keputusan ini kerana perlawanan sukar menentang Chelsea menanti dalam tempoh terdekat,” tambahnya.

Keputusan ini sekali gus memberi isyarat jelas bahawa City perlu segera memperkemaskan sentuhan penyudah jika mahu terus memberi tekanan dalam perebutan kejuaraan musim ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×