Letshanaa kali pertama ke separuh akhir Indonesia Masters

Letshanaa kali pertama ke separuh akhir Indonesia Masters

K. Letshanaa juga belum pernah menjejakkan kaki pada kejohanan bertaraf Super 500 dan kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbaiknya sejak mendapat bimbingan jurulatih, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan No. 1 negara, K. Letshanaa melakar sejarah dalam kariernya apabila mara buat kali pertama pada separuh akhir kejohanan badminton berstatus Super 500, Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Letshanaa yang menghuni ranking No. 42 dunia menewaskan wakil Taiwan, Huang Yu Hsuan yang berada di tangga ke-37 dunia 21–17, 21–18 dalam masa 40 minit di suku akhir.

Kemenangan tersebut menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu menyamakan rekod pertemuannya dengan Yu Hsuan menjadi 1-1.

Kejutan terus dilakar Letshanaa di Istora Senayan, apabila semalam dia turut mencipta kemenangan terbesar dalam kariernya menundukkan pemain No. 12 dunia, Michelle Li 21-14, 21-14 dalam masa 36 minit di pusingan kedua.

Pada separuh akhir, esok, anak jati Selangor itu bakal menghitung pertemuan dengan pemain muda Thailand, Pitchamon Opatniputh yang menghuni ranking ke-36 dunia.

Kedua-dua pemain belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa dan ini peluang Letshanaa yang terus mengukir sejarah menempah slot ke perlawanan akhir Indonesia Masters.

Kemajuan yang ditunjukkan Letshanaa cukup ketara selepas dia mendapat bimbingan daripada jurulatih, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang di bawa pulang Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari Ireland, Oktober tahun lalu.

Malaysia telah agak lama tidak melihat wakil negara dalam sektor perseorangan wanita melangkah sehingga ke separuh akhir dalam Jelajah Dunia sejak Goh Jin Wei berbuat demikian pada Terbuka Hong Kong, tiga tahun lalu.

Mungkin ini permulaan yang positif untuk Letshanaa dan diharap kecemerlangan itu dapat diteruskan pada kejohanan akan datang bagi mencapai sasaran yang diletakkan Iskandar berada dalam kelompok 32 terbaik.

Selain Letshanaa, Malaysia turut memiliki seorang lagi pemain muda, Wong Ling Ching yang juga mempamerkan peningkatan prestasi di bawah teraju Iskandar setelah memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2025 di Thailand, hujung tahun lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN