KL City bangkit singkir Perak, mara ke suku akhir

KL City bangkit singkir Perak, mara ke suku akhir

PEMAIN Perak FA, Hafizy Daniel Mohamad Termizi (kanan) mengejar bola dari Pemain Kuala Lumpur City FC, Muhammad Safawi Rasid pada perlawanan Piala Malaysia antara Kuala Lumpur City FC dan Perak FA di Stadium Bola Sepak Cheras di sini hari ini.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC (KL City) membuktikan semangat juang tidak pernah mati apabila melakar kebangkitan dramatik untuk menyingkirkan Perak FA dan seterusnya mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Bermain di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, skuad The City Boys bangkit menewaskan Perak 3-0 dalam aksi timbal balik, sekali gus menang agregat 3-2 selepas tewas 0-2 pada perlawanan pertama di Manjung.

Berbekalkan misi wajib dua gol, anak buah Risto Vidakovic berdepan cabaran getir apabila Perak memilih pendekatan bertahan sepenuhnya dengan corak ‘parkir bas’, menyebabkan babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan walaupun KL City menguasai permainan.

Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-56 apabila Safawi Rasid tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas VAR mengesahkan berlaku kekasaran dalam kotak penalti, sekali gus meniupkan semula harapan tuan rumah.

Gol tersebut melonjakkan moral pemain KL City yang terus menggandakan asakan sebelum Paulo Josue muncul wira apabila meledak sepakan percuma menarik pada minit ke-90 untuk mengikat agregat dan memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Dalam aksi yang semakin terbuka, KL City tampil lebih tajam apabila Nicolao Dumitru memastikan kemenangan mutlak menerusi tandukan kemas pada minit ke-106, memadam sepenuhnya impian Perak untuk mara lebih jauh.

Keputusan itu menyaksikan KL City mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia dan bakal berdepan cabaran Terengganu FC dalam misi memburu trofi berprestij tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN