PETALING JAYA: Pelakon ,Aniq Suhair terpaksa dikejarkan ke sebuah klinik selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki pada hari terakhir penggambaran filem terbaharunya, Bisikan Nafsu, semalam.
Menurut Aniq atau Muhammad Aniq Suhair bin Mohd Salleh, 25, insiden itu berlaku ketika dia menjalani satu babak aksi yang memerlukan dirinya melompat dari tembok tinggi ke kawasan sungai.
Bagaimanapun, dia tergelincir lalu tersadung pada batu sehingga menyebabkan luka yang memerlukan enam jahitan.
“Malang memang tidak berbau. Semalam merupakan hari terakhir penggambaran Bisikan Nafsu. Ada satu babak aksi yang memerlukan komitmen penuh dan saya cuba lakukan sebaik mungkin.
“Sepatutnya saya melompat dari tembok turun ke sungai dan berenang ke seberang, namun saya tergelincir, kaki tersadung pada batu dan akhirnya menerima enam jahitan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Bagaimanapun, pelakon Sekali Lagi Cinta itu melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pasukan produksi yang bertindak pantas membawanya mendapatkan rawatan.
“Terima kasih tidak terhingga kepada jururawat, doktor dan seluruh kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Besi atas layanan yang sangat baik serta tindakan pantas merawat saya.
“Terima kasih juga kepada pasukan produksi dan Abang Riza yang segera membawa saya ke klinik. Saya amat menghargainya,” ujarnya.
Susulan kecederaan itu, Aniq memaklumkan dia perlu berehat seketika daripada melakukan sebarang aktiviti lasak yang melibatkan pergerakan kaki bagi memastikan luka jahitannya sembuh sepenuhnya.
“Buat sementara waktu, saya perlu berehat dan tidak melakukan aktiviti berat. Doakan saya cepat sembuh,” katanya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata rakan artis dan peminat mendoakan agar pemenang tempat keempat Hero Remaja 2020 itu segera pulih dan kembali aktif dalam dunia lakonan.
“Semoga cepat sembuh,” tulis rakan pelakon, Hun Haqeem.
”Ini bukti komitmen sebagai pelakon hebat,” tulis satu komen.
”Saya yang tengok pun ngeri, semoga cepat sihat,” tulis satu peminat. -UTUSAN










